Tuesday, April 30, 2013

Kajian PRU I: 95

In shaa Allah tahun ini adalah kali ketiga saya mengundi untuk memilih pemimpin di Malaysia.

Ia kajian saya yang berterusan, siapakah pemimpin yang mesti saya pilih.

Ia juga kajian yang saya buat sejak dari awal usia Mumayyiz.  Tahu yang mana baik dan buruk.

Saya telah didedahkan dengan konsep sekolah pondok sejak sekolah rendah.  Kebaikan dan kecemerlangan pelajar-pelajar jurusan agama yang menyambung pengajian sehingga ke Universiti Yarmouk, Jordan dan El-Azhar Mesir menyebabkan saya sangat kagum dengan mereka.  Mereka pelajar agama yang begitu bersusah payah untuk berjaya.  Dan sekolah-sekolah pondok mereka kebanyakannya adalah tajaan pemimpin setempat daripada PAS.

Saya membesar dalam suasana itu.  Setiap Jumaat, kami sekeluarga akan menghadiri kuliah Jumaat yang disampaikan oleh TG Haji Abdul Hadi Awang di Masjid terkenalnya, Rusila.  Ia tidak pernah ditinggalkan.  Setengah jam belajar tafsir al-Quran, setengah jam lagi mengaji bab Feqah/ Sirah/ Tauhid.  Tiada caci maki politik.  Tiada cerca carut.  Banyak ilmu bermanfaat yang saya perolehi.  Dan saya terus belajar dan mengkaji.

Ia kelihatan kajian dan pilihan yang mudah kan? Mana tidaknya, saya hidup dalam suasana begitu dan saya memang sukakan begitu.

Friday, April 19, 2013

Caj Tambahan: 94

Bismillah.

Selepas membaca status sahabat-sahabat di FB, saya periksa pula bil elektrik di rumah.  Benar.  Ia dinyatakan di situ.  Caj tambahan untuk Dana Wang Tenaga Boleh Baharu (DWTBB).

Apa itu DWTBB?

Jawab mereka di TNB, bukan mereka yang caj tetapi KERAJAAN yang minta (1%) bagi setiap lebihan 300 kWj.  Ia 'kelihatan baik' untuk mendidik rakyat berjimat cermat (jangan membazir) tetapi alangkah baik ia ditukar kepada bentuk penghargaan.  Bagi rakyat yang guna kurang 300kWj, mereka boleh dapat 1% rebate.  Pada saya, mendidik bukan dengan menghukum.

Saya tidak bersetuju dengan kaedah ini.  Ia ZALIM.  Bayangkan mereka yang mempunyai anak yang ramai (lebih 3 orang).  Si abang di bilik dengan lampu dan kipas terpasang beserta laptop.  Kakak juga di bilik, serupa aktiviti dan mungkin juga menggosok pakaian. Adik di depan TV dengan kipas berpusing.  Emak di dapur dengan pembantu-pembantu Korea/ Jepun/ China membasuh kain, memasak nasi dan air serta tidak lupa blend cili.  Ayah dengan pembantu Sanyo mengvakum rumah.  Masya Allah, ia senarai tugas yang tidak berhabis. Itu kelaziman rakyat di Malaysia. Tiada yang pelik.  Jadi, bagaimana boleh sangat berjimat?

Lihat pula bagaimana orang yang serba kekurangan, mereka lebih banyak berjaga (lampu dan kipas terpasang) untuk membuat kuih/ masak nasi lemak/ mi sup bagi berniaga kecil-kecilan di tepi jalan.  Mereka pasti terbeban dengan caj ini.

Bayangkan berapakah duit yang mengalir masuk kepada KERAJAAN dalam sebulan?  Jika hanya RM 1 diambil daripada setiap bil elektrik (katakan 15 juta rakyat Malaysia), jumlah terkumpul adalah RM 15 juta/ sebulan.  Masya Allah, ia jumlah yang sangat besar.  Bagi mereka yang selalu menyokong membuta tuli mereka akan berkata:

"Tidak apa, KERAJAAN perlu rolling duit untuk urus tadbir negara."

Tidak apa mereka kerana mereka orang berada.  Setakat 1% tiada apa-apa. Mereka terkena penyakit Aku Tidak Pedulisme.

Pada saya, ia bermaksud seperti kamu bagi sesuatu tapi tidak ikhlas dan kamu bagi sesuatu kerana kamu ada agenda tersembunyi (hendakkan balasan sesuatu atau bahasa kasarnya merasuah).  Kamu bagi pelbagai imbuhan (you just name it), tapi nanti kamu kena bayar semula (melalui caj-caj tambahan yang orang tidak perasan ini) dan pemberian Ihsan/ Imbuhan ini adalah semata-mata untuk menarik undi.  Masya Allah. Ia suatu kemungkaran.

Mungkin pada saya juga tiada apa-apa kesan dengan 1%, namun oleh kerana saya melihatnya dari sudut berlainan iaitu value for money dan bersikap ADIL, maka itulah pendapat saya.

Ya Allah, ampunkan saya dan kurniakan kami petunjuk hidayah yang berterusan!

Thursday, April 18, 2013

Hantu Inggeris Tamat: 93

Oleh kerana telah terperam lama cerita Hantu Inggeris itu, saya tiada mood untuk menyambungnya.  Saya menamatkannya walaupun cerita itu masih segar di minda.

Daripada Kelas Ustaz Harun Din al-Hafiz, beliau menyatakan bahawa tanda-tanda mimpi kita adalah BENAR ada 6 perkara:

1) Tidur dalam keadaan berwuduk
2) Mimpi yang menyebabkan kita terjaga daripada tidur dengan serta merta
3) Mimpi yang hampir dengan waktu subuh (Jam 3 pagi ke atas)
4) Mimpi itu segar di minda, kalau diminta bercerita semula ia tidak tersekat-sekat

Maaf, lagi dua tanda saya terlupa.  Inilah bahana kalau mendengar majlis ilmu sambil sidai kain.  Tiada nota dicatatkan, memanglah begini jadinya.  Melayu mudah lupa. Owh, itu tidak sesuai.  Memang manusia itu lupa, asal perkataannya 'nasia', dan dalam bahasa arabnya adalah LUPA.  Bukan melayu sahaja yang LUPA. (Maaf, tiba2 saya saya merasa geram dengan ungkapan Melayu Mudah Lupa).

Kesimpulannya, cerita hantu Inggeris adalah MIMPI saya yang mempunyai 4 tanda-tanda di atas.  Mungkin kerana ia memenuhi 4 kriteria sahaja, maka lagi 2 itu  dengan mudahnya saya terlupa.

Kata Ustaz Harun Din al-Hafiz lagi, mesti ada 6 tanda, barulah boleh dikatakan ia MIMPI BENAR.  Jadi, mimpi saya hanya mainan tidur agaknya. Tak apalah, mimpi hantu, bukan mimpi Rasulullah.  Kalau mimpi Rasulullah, ia pasti benar kerana tiada siapa yang boleh menyerupai baginda S.A.W.