Tuesday, May 21, 2013

SMILE:96

Kajian PRU saya akan saya sambung lagi, bila berkesempatan. Saya sukakan politik!

Sekarang saya membaca buku SMILE, yang ada gambar Irma Hasmie sebagai front cover. 
Buku yang menarik.

Sebagai permulaan kepada menyahut seruan buku itu dalam menjadikan saya lebih baik, PADAMKAN nama orang/ siapa orang itu yang kita ceritakan sebagai pengalaman tidak baik/ cerita yang kurang enak/ cerita yang berbulu rasa hati dengan menggantikan dengan DIA.

Sesungguhnya itu terlebih baik.  Jangan lupa letakkan pengajaran di sebalik cerita tidak baik tersebut, untuk diambil peringatan.

Tuesday, April 30, 2013

Kajian PRU I: 95

In shaa Allah tahun ini adalah kali ketiga saya mengundi untuk memilih pemimpin di Malaysia.

Ia kajian saya yang berterusan, siapakah pemimpin yang mesti saya pilih.

Ia juga kajian yang saya buat sejak dari awal usia Mumayyiz.  Tahu yang mana baik dan buruk.

Saya telah didedahkan dengan konsep sekolah pondok sejak sekolah rendah.  Kebaikan dan kecemerlangan pelajar-pelajar jurusan agama yang menyambung pengajian sehingga ke Universiti Yarmouk, Jordan dan El-Azhar Mesir menyebabkan saya sangat kagum dengan mereka.  Mereka pelajar agama yang begitu bersusah payah untuk berjaya.  Dan sekolah-sekolah pondok mereka kebanyakannya adalah tajaan pemimpin setempat daripada PAS.

Saya membesar dalam suasana itu.  Setiap Jumaat, kami sekeluarga akan menghadiri kuliah Jumaat yang disampaikan oleh TG Haji Abdul Hadi Awang di Masjid terkenalnya, Rusila.  Ia tidak pernah ditinggalkan.  Setengah jam belajar tafsir al-Quran, setengah jam lagi mengaji bab Feqah/ Sirah/ Tauhid.  Tiada caci maki politik.  Tiada cerca carut.  Banyak ilmu bermanfaat yang saya perolehi.  Dan saya terus belajar dan mengkaji.

Ia kelihatan kajian dan pilihan yang mudah kan? Mana tidaknya, saya hidup dalam suasana begitu dan saya memang sukakan begitu.

Friday, April 19, 2013

Caj Tambahan: 94

Bismillah.

Selepas membaca status sahabat-sahabat di FB, saya periksa pula bil elektrik di rumah.  Benar.  Ia dinyatakan di situ.  Caj tambahan untuk Dana Wang Tenaga Boleh Baharu (DWTBB).

Apa itu DWTBB?

Jawab mereka di TNB, bukan mereka yang caj tetapi KERAJAAN yang minta (1%) bagi setiap lebihan 300 kWj.  Ia 'kelihatan baik' untuk mendidik rakyat berjimat cermat (jangan membazir) tetapi alangkah baik ia ditukar kepada bentuk penghargaan.  Bagi rakyat yang guna kurang 300kWj, mereka boleh dapat 1% rebate.  Pada saya, mendidik bukan dengan menghukum.

Saya tidak bersetuju dengan kaedah ini.  Ia ZALIM.  Bayangkan mereka yang mempunyai anak yang ramai (lebih 3 orang).  Si abang di bilik dengan lampu dan kipas terpasang beserta laptop.  Kakak juga di bilik, serupa aktiviti dan mungkin juga menggosok pakaian. Adik di depan TV dengan kipas berpusing.  Emak di dapur dengan pembantu-pembantu Korea/ Jepun/ China membasuh kain, memasak nasi dan air serta tidak lupa blend cili.  Ayah dengan pembantu Sanyo mengvakum rumah.  Masya Allah, ia senarai tugas yang tidak berhabis. Itu kelaziman rakyat di Malaysia. Tiada yang pelik.  Jadi, bagaimana boleh sangat berjimat?

Lihat pula bagaimana orang yang serba kekurangan, mereka lebih banyak berjaga (lampu dan kipas terpasang) untuk membuat kuih/ masak nasi lemak/ mi sup bagi berniaga kecil-kecilan di tepi jalan.  Mereka pasti terbeban dengan caj ini.

Bayangkan berapakah duit yang mengalir masuk kepada KERAJAAN dalam sebulan?  Jika hanya RM 1 diambil daripada setiap bil elektrik (katakan 15 juta rakyat Malaysia), jumlah terkumpul adalah RM 15 juta/ sebulan.  Masya Allah, ia jumlah yang sangat besar.  Bagi mereka yang selalu menyokong membuta tuli mereka akan berkata:

"Tidak apa, KERAJAAN perlu rolling duit untuk urus tadbir negara."

Tidak apa mereka kerana mereka orang berada.  Setakat 1% tiada apa-apa. Mereka terkena penyakit Aku Tidak Pedulisme.

Pada saya, ia bermaksud seperti kamu bagi sesuatu tapi tidak ikhlas dan kamu bagi sesuatu kerana kamu ada agenda tersembunyi (hendakkan balasan sesuatu atau bahasa kasarnya merasuah).  Kamu bagi pelbagai imbuhan (you just name it), tapi nanti kamu kena bayar semula (melalui caj-caj tambahan yang orang tidak perasan ini) dan pemberian Ihsan/ Imbuhan ini adalah semata-mata untuk menarik undi.  Masya Allah. Ia suatu kemungkaran.

Mungkin pada saya juga tiada apa-apa kesan dengan 1%, namun oleh kerana saya melihatnya dari sudut berlainan iaitu value for money dan bersikap ADIL, maka itulah pendapat saya.

Ya Allah, ampunkan saya dan kurniakan kami petunjuk hidayah yang berterusan!

Thursday, April 18, 2013

Hantu Inggeris Tamat: 93

Oleh kerana telah terperam lama cerita Hantu Inggeris itu, saya tiada mood untuk menyambungnya.  Saya menamatkannya walaupun cerita itu masih segar di minda.

Daripada Kelas Ustaz Harun Din al-Hafiz, beliau menyatakan bahawa tanda-tanda mimpi kita adalah BENAR ada 6 perkara:

1) Tidur dalam keadaan berwuduk
2) Mimpi yang menyebabkan kita terjaga daripada tidur dengan serta merta
3) Mimpi yang hampir dengan waktu subuh (Jam 3 pagi ke atas)
4) Mimpi itu segar di minda, kalau diminta bercerita semula ia tidak tersekat-sekat

Maaf, lagi dua tanda saya terlupa.  Inilah bahana kalau mendengar majlis ilmu sambil sidai kain.  Tiada nota dicatatkan, memanglah begini jadinya.  Melayu mudah lupa. Owh, itu tidak sesuai.  Memang manusia itu lupa, asal perkataannya 'nasia', dan dalam bahasa arabnya adalah LUPA.  Bukan melayu sahaja yang LUPA. (Maaf, tiba2 saya saya merasa geram dengan ungkapan Melayu Mudah Lupa).

Kesimpulannya, cerita hantu Inggeris adalah MIMPI saya yang mempunyai 4 tanda-tanda di atas.  Mungkin kerana ia memenuhi 4 kriteria sahaja, maka lagi 2 itu  dengan mudahnya saya terlupa.

Kata Ustaz Harun Din al-Hafiz lagi, mesti ada 6 tanda, barulah boleh dikatakan ia MIMPI BENAR.  Jadi, mimpi saya hanya mainan tidur agaknya. Tak apalah, mimpi hantu, bukan mimpi Rasulullah.  Kalau mimpi Rasulullah, ia pasti benar kerana tiada siapa yang boleh menyerupai baginda S.A.W.

Sunday, January 27, 2013

Hantu Inggeris III:92


Kami berbual-bual tentang tugas yang bakal saya laksanakan.  Saya banyak mengiakan sahaja kata-kata wanita itu kerana  saya cemas melihat anak perempuannya yang dari tadi menulis dan melukis tanpa memandang kepada saya. Dia begitu asyik, tidak mempedulikan apa-apa yang berlaku di sekitarnya.

Saya semakin cemas apabila saya merasakan bahawa ‘supervisor’ yang bersembang dengan saya ini adalah isteri Sir Gerald dan budak perempuan ini adalah anaknya yang telah membunuh ayahnya sendiri.

“Okay, you may start work now.  My butler will show you around.”  Kata wanita itu sambil bercakap pula dengan butler yang dari tadi setia berdiri di belakang kerusi budak perempuan itu.

“Thank you.” Kata saya sambil bangun dari kerusi dan menghulurkan tangan bersalaman dengan ‘supervisor’ dan anaknya. 

Budak perempuan itu berhenti melukis dan memandang kepada saya.  Dia tidak menyambut tangan saya sebaliknya memberi pandangan seperti, “You know who I am” dan tersenyum sinis.

Saya terus berpaling ketakutan dan berjalan laju untuk segera keluar dari bilik berhantu itu.  Sebaik sahaja saya keluar dari bilik itu, saya berlari sekuat hati.  Perjalanan saya ke kaunter rakan saya itu seakan sangat jauh.

“Kenapa ni kak?”. Tanya rakan saya bila melihat saya sampai dengan keadaan nafas yang tidak cukup.

“Supervisor yang akak jumpa tadi adalah isteri Sir Gerald”.  Kata saya sambil tercungap-cungap keletihan.

“Ye ke?.” Tanya kawan itu dengan muka yang sangat terkejut.

“Betul Wa, anak perempuan dia pun ada kat sebelah dia.  Sebelum akak nak keluar tadi, budak perempuan tu pandang akak dan macam dia kata awak dah tahu siapa saya”.  Cerita saya lagi dengan nafas yang masih tersekat-sekat.

“Laa kak, kenapa sampai dia jumpa akak dan bercakap-cakap pulak tu?  Kita semua kat sini tak pernah bercakap dengan hantu-hantu tu.  Hanya terserempak.  Risau pulak saya."

“Tak tahulah Wa. Akak rasa tak sedap hati ni. Takutlah”. Kata saya lagi menjawab pertanyaannya.

Bersambung lagi nanti...

Thursday, January 24, 2013

Hantu Inggeris II: 91


“Semua orang dah tahu kak.  Mereka yang bekerja kat sini tahu sebab mereka mesti terserempak dengan nenek tua tu.  Akak boleh google cerita mereka kat internet.  Akak cari pembunuhan kejam pemilik hotel dan pewaris kekayaan Sir Gerald Hendrick”.  Cerita kawan saya lagi.

Saya mengangguk saja.  Saya merasa tidak sedap hati.  Berdebar dan seram sejuk.

“Akak rileks dulu, tak yah start keje lagi.  Cool down.” Kawan saya menenangkan saya.

“Macam mana Sir tu mati?” Tanya saya pula bila debaran telah reda.

“Dia dibunuh anak perempuannya.  Memang sangat kejam.  Anak perempuannya menikam ayahnya atas arahan ibunya.  Ibunya pula menerima arahan dari nenek budak perempuan tu.  Mereka semua hendak membolot kekayaan Sir Gerald.”

Saya mendiamkan diri.  Sampai hati anak menikam ayah sendiri. Tidak baikkah Sir Gerald itu sampai sanggup anak membunuhnya?

“Sir tu baik sangat kak.  Semua pekerja hotel sayangkan dia.  Sangat menjaga keselesaan tetamu, tu sebab perniagaan hotelnya sangat berjaya”.  Sambung rakan saya, seperti tahu-tahu saja kata hati saya.

Saya merasa simpati di atas kematian Sir.  Saya menjadi murung.  Kerana harta, mereka anak beranak sanggup berbunuh-bunuhan.

Esoknya saya masuk bekerja seperti biasa.  Hati saya masih berdebar-debar.  Risau terserempak dengan wanita tua itu.

“Eloklah akak dah sampai, bos nak jumpa.  Nak bagi brief tugas lah tu”. Kata rakan saya sebaik sahaja melihat saya tiba.

“Ok. Akak pergi jap ye.”

Saya berlalu menuju pejabat supervisor dengan hati yang ceria kerana saya akan diberi tugas.

“Come in.”  Kedengaran suara dari dalam pejabat, menyuruh saya masuk setelah saya mengetuk pintu biliknya.

Saya membuka pintu bilik dan tergamam melihat ‘supervisor’ saya.  Dia seorang wanita Inggeris, lengkap dengan pakaian bergaya Inggeris lama.  Saya berfikir sejenak, betul ke ini bilik supervisor saya?  Saya tercegat melihat dekorasi bilik.  Ianya bergaya Inggeris lama dengan kerusi berukir tebal, bilik dengan kertas dinding yang kelam warnanya seakan usang dan biliknya juga suram.  Seorang kanak-kanak perempuan duduk di sebelahnya tetapi leka menulis dan melukis.

“Have a seat, please.”.  Jemput wanita Inggeris itu.

“Thank you.” Saya menarik kerusi dan duduk di depannya dengan perasaan yang sangat mencemaskan.

Bersambung lagi nanti...

Monday, January 21, 2013

Hantu Inggeris I:90


Petang itu saya mendapat surat tawaran bekerja di JUSCO sebagai Promoter.  Ianya kerja separuh masa sahaja dan waktu bekerja bermula jam 6 petang sampai 10 malam.  Jadi, sebaik sahaja habis waktu kerja hakiki, saya terus menukar pakaian kepada uniform JUSCO.  Ianya menyeronokkan kerana saya bekerja bersama-sama dengan kawan sekerja hakiki juga.  Dia telah bekerja lebih lama di situ dan dia juga yang membantu saya mendapatkan kerja di situ.

Kerja separuh masa ini tidaklah bergaji lumayan, namun bolehlah back-up perbelanjaan rumahtangga.
Hari pertama bekerja belum lagi menyibukkan saya kerana saya belum diberi penerangan berkenaan tugas yang harus dilakukan.  Jadi, saya mengambil peluang untuk melawat sekitar pasaraya bagi membiasakan saya dengan tempat kerja baru.

Saya berjalan-jalan sambil mengkagumi kecantikan senibina Jusco dan ianya juga bersambung dengan hotel yang mempunyai konsep senibina Inggeris.  Ia benar-benar seperti saya berjalan di dalam bangunan bersejarah.

Sedang saya berjalan-jalan itu, saya terlihat seorang wanita Inggeris tua dengan pakaian Inggeris lama seakan-akan pakaian pelakon cerita bersiri Downtown Abbey menuruni anak tangga besar ke lobi.  Saya sedikit terkejut melihat wanita itu.  Wajahnya cantik persis wanita kaya Inggeris, namun pakaiannya?  Saya berfikir-fikir, ada lagi kah orang berpakaian begini? Wanita ini dari kurun mana?  

Saya tersenyum sedikit sambil berjalan laju untuk beredar segera sebelum wanita tua itu habis menururuni tangga.  Saya tidak mahu berjalan seiring dengannya.

“Akak kenapa ni termengah-mengah je?”.  Tanya kawan sekerja saya bila melihat saya sampai ke kaunternya dengan nafas tercungap-cungap.

Setelah saya boleh bernafas dengan biasa, saya galak bercerita kepadanya apa yang telah saya lihat.

“Owh, akak pun dah jumpa dia ye?.  Kami semua kat sini pun dah jumpa English Lady tu.”.  Cerita kawan saya pula.

“Pelik kan?  Ada lagi orang berpakaian macam tu.” Kata saya lagi.

“Yang akak nampak tu hantu hotel Jusco.  Dia dah lama mati, beberapa kurun dah”. Tambah kawan saya lagi.

“Biar betul ni Wa. Takkan lah. “ Bulu roma saya meremang mendengar kata-katanya.

“Betul kak.  Dia tiga orang, yang akak jumpa tu nenek dia,  seorang anak perempuannya dan seorang lagi cucu perempuannya.  Mereka pemilik asal hotel tu. Mereka mati di dalam hotel tu lah.”

“Ko biar betul Wa? Mana Wa tau semua ni?” Tanya saya yang masih tidak boleh percaya.

Bersambung nanti...